Credit Card

Tuesday, August 28, 2007


Hello again....

I stumble upon this article while was searching for 'something else'.....a very good read for all Melayu² out there(yg Islam lah...ataupon sesape yg faham BM).....originally from www.zaharuddin.com....baca yg part merah tu...hihi....and sape yg dah baca dan tahu hukum tu....jgn claim tatau atau buat tatau plak....nanti kat akhirat jwb sendiri eik bile ditanya....

Adakah Kad Kredit Haram di Dalam Islam?

Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman

Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam buat Rasul junjugan Nabi Muhammad SAW, pemimpin para du’at dan Mujahidin yang telah sempurna menyampaikan amanah dan risalah serta memberikan ingatan dan berita baik kepada seluruh manusia. Juga salam ke atas para ahli keluarga Baginda SAW, para sahabatnya yang terpilih serta mujahidin/at dan muslimin/at yang menurut jalan kebenaran Islam.

Penulisan ringkas dan padat ini akan menyentuh aspek berikut :-


1. Pengenalan ringkas jenis Kad Kredit utama yang terpakai di dunia sekarang.
2. Hukum setiap urusniaga dan yang berkaitan dengan Kad Kredit.

Penulisan ini ditujukan khas bagi setiap pengguna kad kredit yang mengambil berat di atas hal -ehwal halal dan haram dalam urusannya dan kepada setiap insan yang ingin menambah maklumat, bagaimanapun penulisan ini dibuat dalam bentuk ringkas, tanpa menuruti kaedah penulisan tesis ilmiah. Ia sekadar suatu bentuk artikel separa ilmiah dituju pada umum dan diharap dapat menjelaskan ‘mawqif’(pendirian) Islam terhadap kontrak yang kian popular di kalangan masyarakat hari ini.

RINGKASAN MAKLUMAT DAN LATAR BELAKANG KAD KREDIT

1. Takrif Kad Kredit

Menurut Kamus Oxford : “ Ia adalah satu kad yang dikeluarkan oleh Bank atau mana-mana pihak lain, yang mana ia memberi kemudahan kepada pemegangnya untuk memperolehi barang-barang keperluannya secara tangguh bayaran (Hutang)”

‘Hutang’ dari sudut syarak menurut takrifan Al-Qadhi Ibn ‘Arabi “Iaitu urusan pemindahan (pertukaran) hak milik (secara jual beli atau seumpama dengannya), yang mana salah satu pihak secara tunai manakala pihak kedua secara tangguh di atas tanggungannya (dengan masa yang ditetapkan atau tidak)”

Manakala Takrifan yang dikeluarkan oleh Ketetapan Majlis Kesatuan Fiqh Islam Sedunia (Majma’ Fiqh Islami) bagi Kad Kredit adalah : “Satu bentuk penyata sandaran (penyata keterangan) yang diiktiraf, diberikan oleh pengeluar kepada mana-mana individu atau pihak yang diiktiraf melalui kontrak diantara kedua-dua belah pihak, ia membolehkan pemegangnya membuat pembelian barangan atau khidmat-khidmat dari semua pihak yang mengiktiraf penyatan sandaran (kad Kredit) tadi, tanpa perlu membuat pembayaran tunai (segara), kerana ia mengandungi jaminan pembayaran dari pihak pengeluar.”


2. Jenis Kad Kredit

Pembahagian jenis Kad Kredit berdasarakan cara-cara pelangsaian bilnya adalah seperti berikut :


a) Kad Kredit Jenis (Charge Card)
Ia adalah kad kredit yang mewajibkan pemegangnya membayar bil penggunaannya setiap bulan.
Antaranya jenisnya : American Express (Hijau), Diners Club.

Antara cirinya yang terpenting :-
1) Tidak disyaratkan pemegangnya membuka Akaun Simpanan di Bank Pengeluar atau Pihak Pengeluar Kad. Juga tidak disyaratkan pemegang mengemukakan apa jua Jaminan Tunai kepada Bank Pengeluar bagi melangsaikan seluruh hutang-hutangnya hasil penggunaan kad.
2) Pemegang kad diberi had tertentu (Credit Line), lalu ia boleh menikmati seluruh hak hutang piutang (bayaran tangguh) dalam satu had ‘tempoh izin tangguh jangka pendek’ yang telah ditentukan, iaitu tempoh antara waktu belian dan waktu wajib langsaian bil. Biasanya dalam 55-60 hari, ketika itu, pemegang akan dibekalkan dengan penyata bulanan yang menyebut transaksi urusniaga yang telah digunakan.
3) Jika pemegang lewat melangsaikan kos penggunaannya dari waktu yang ditetapkan, maka pengeluar akan mengenakan ’penalty’ akibat lewat yang telah ditetapkan di dalam kontrak perjanjian. Mungkin juga akan ditarik balik kad dan dibuang dari keahlian dan sebagainya.
4) Mungkin juga pemegang kad jenis ini perlu membayar yuran permohonan sekali sahaja, dan juga yuran pembaharuan kad tahunan.

b) Kad Kredit Yang Menerima Pembaharuan Bil (Revolving Credit Card)
*Jenis ia adalah yang paling banyak tersebar di seluruh dunia.
Antaranya Visa Card, Master Card, Diners Card, American Express Card.
• Ia juga mempunyai banyak ciri yang sama dengan yang pertama tadi cuma terdapat beberapa perbezaan utama.
• Pemegang Kad tidak wajib melangsaikan ‘kos guna’ nya secara keseluruhannya setelah mendapat penyata bil dari pengeluar dalam tempoh izin yang diberikan, TETAPI DIBENARKAN UNTUK MEMBAYAR HANYA NISBAH KECIL DARI BIL . Manakala bakinya, pemegang diberi pilihan samada ingin melangsaikannya dalam tempoh izin yang diberi tersebut ataupun dibiarkan bakinya lalu pihak pengeluar akan mengenakan faedah daripada jumlah bil yang tertangguh ini.
• Kad ini tidak mempunyai had tertinggi penggunaan. Ini bermakna pemegang boleh berbelanja sbanyak mana yang disukainya dan hanya perlu membayar nisbah kecil dari bil, manakala bakinya boleh dibayar secara bertangguh dengan dikenakan peratusan faedah.
• Pemegang Kad boleh menggunakannya samada di dalam ataupun di luar negara di mana-mana sahaja asalkan pihak peniaga mengiktirafnya.
• Ia mempunyai 3 jenis kebiasaannya : Kad emas, Kad Perak dan Kad Biasa.


HUKUM BERKAITAN DENGAN PENGGUNAAN KAD KREDIT

1. Kontrak dan Hubungan Antara Pengeluar, Pemegang dan Peniaga.
Secara amnya, jenis kontrak yang dibuat antara pemegang kad, Pengeluar dan pihak ketiga adalah diktiraf di dalam Islam. Pandangan yang terkuat di dalam hal ini adalah hubungan Al-Kafalah (Jaminan). Dimana ‘Kafil’ (adalah Penjamin-Pengeluar Kad), ‘Makful’ (Yang dijamin- Pemegang Kad) dan ‘Makful lahu’ (Penjual). Semua ini adalah diiktiraf dan kontrak adalah sah di sisi Islam. Kesannya, semua pembelian dibuat dengan kad ini, tiada lagi hak tuntutan pembayaran dari peniaga kepada pemegang kad, kerana ia telah terpindah kepada Pengeluar.

Maka tidak harus peniaga menuntutnya daripada Pemegang Kad. Demikian pandangan Hasan Al-Basri, Ibn Sirin, Ibn Hazm dan Majoriti Fuqaha. Pandangan mereka adalah berdasarkan kefahaman terhadap tiga buah hadith Nabi yang diriwayatakn oleh Abu Daud, Tirmizi, Ahmad, Al-Baihaqi, Ad-Dar Qutni dan lain lain. Justeru tulisan ini tidaklah ingin memanjangkan bicara tentangya.

2. Yuran Penyertaan, Pembaharuan dan Penukaran Kad
Hukumnya : HARUS, tiada masalah dari sudut syarak, ia dianggap sebagai upah yang telah ditetapkan oleh pihak pengeluar terhadap khidmat yang disediakannya. Juga HARUS jika terdapat perbezaan jumlah yuran khidmat bergantung kepada perbezaan jenis khidmat. Tetapi dengan syarat jumlah kos tersebut mestilah setara dengan khidmat sebenar yang diberikan.Jika ia melebihi kos khidmat sebenar, maka ia adalah Riba yang diharamkan.

Demikian keputusan dalam Qarar (ketetapan) dari Majma’ Fiqh Islami (Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia) pada persidangannya yang ke-3 , Okt 1986

3. Kos Tertentu Dari Peniaga kepada Bank Pengeluar
Adakalanya pihak Bank pengeluar Kad meletakkan syarat dalam kontraknya dengan para peniaga sejumlah ‘kos tertentu’ dalam bentuk peratusan yang dipotong dari Bil Penjual (Peniaga), yang mana biasanya berlegar sekitar 2-5% atau 8 % dari jumlah Bil. (Lihat Jones , Sally A, The Law Relating to Credit Cards, London, 1989 ,ms 14)
Hasilnya, apabila Peniaga membuat tuntutan kepada Bank Pengeluar, maka Bank akan segera menunaikan bil (Pemegang Kad) iaitu setelah dipotong jumlah kos yang disebut tadi. Kemudian pihak Bank akan menuntut kos asal (tanpa potongan) hasil penggunaan kad daripada pemegang kad.

Hukumnya : Harus . Berdasarkan pendapat mazhab Hanafi yang sah. Jumlah kos ini dikira hadiah kepada Bank pengeluar. (Rujuk Fatawa Hindiyyah, juga Fatawa Al-Bazaziyah, Al-Mabsut dan lain lain ), Terdapat ramai para Fuqaha (Ulama Fiqh) mengganggap ia adalah upah wakil (Ujrah wakalah) kepada Bank kerana menjadi ‘wakil’ bagi Peniaga dalam mempromosikan barangannya serta jaminan wujudnya pelanggan. Ia juga boleh dianggap sebagai Diskaun Khas dari peniaga kepada pengeluar. Ada juga yang mengatakan ia sebagai upah Broker (Ia adalah pandangan Prof. Dr Rafiq Al-Misri).

4. Syarat Mewajibkan Pemegang Kad Membuka Akaun di Bank Pengeluar.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan kad, mereka disyaratkan menyimpan sejumlah tertentu di dalam akaun bank pengeluar. Ia sebagai bukti pengiktirafan hak-haknya.

Hukumnya : Harus. Dalam Fiqh Islam, ia mengambil hukum ‘Ar-Rahn’ (Barang Gadaian).

5. Hadiah dan Jaminan Khas Bagi Pemegang Kad Emas (Gold Card)
Ia bertujuan untuk menarik golongan menengah dan atasan bagi menyertai skim mereka.
Maka untuk tujuan itu, mereka menawarkan beberapa bentuk hadiah dan skim Insuran Percuma dan Insuran Kemalangan Perjalanan.
Dalam program Hadiah Ahli (Membership Rewards), setiap US dolar hasil penggunaan Kad Emas, pengguna akan mendapat satu mata. Dan mata ini akan bertambah dan jumlah mata terkumpul tertentu akan membolehkan pengguna menikmati program melancong percuma atau penginapan di hotel percuma, atau diskaun di restoran-restoran dan lain lain.
(Lihat : American Express Cards, an exclusive opportunity for a select few)

Hukumnya :


1. Hadiah Insuran percuma : Hukum Insuran Konvensional telah diputuskan oleh Sidang Majma Fiqh Islami yang pertama pd 1397 H, sebagai Haram kerana mengandungi unsur Riba,Gharar, Jahalah, Judi dan lain lain. Bagaimanapun dalam konteks ini, hukumnya berlainan kerana pemegang tidak membayar apa-apa kepada syarikat Insuran, oleh itu ia tidak terjebak di dalam hukum haram yang diputuskan, malah ia dianggap sebagai hadiah galakan sahaja dan hukumnya adalah Harus. Ini adalah kerana ia bukannya maksud kontrak tetapi hanya tabi’ (perkara sampingan yang terhasil dari perjanjian). Telah diiktiraf dalam Kaedah Fiqh bahawa (Dimaafkan yang berlaku pada tawabi’ dan tidak pada lainnya- Rujuk Majalah al-Ahkam Al-‘Adliyah).

2. Hadiah-hadiah lain : HARUS atas dasar sumbangan dan derma dan galakan. Asalkan ia tidak terjebak dalam muamalat Bank Konvensional Ribawi. Juga dengan syarat hadiah ini terdiri daripada perkara yang halal di sisi syarak. Bagaimanapun dalam hal seumpama ini ,ulama Mazhab Syafie tidak mengharuskannya atas dasar ‘Sadd az-Zarai’ (Menutup jalan haram dari berlaku).

5. Syarat Menamatkan Kontrak Menurut Kehendak Pengeluar Sahaja

Iaitu pihak pengeluar mempunyai hak untuk menamatkan kontrak walaupun tanpa persetujuan Pemegang kad.

Hukumnya : Syarat ini diterima dan HARUS di sisi Syara’, kerana kontrak yang diikat adalah termasuk dalam bab Kafalah. Ia telahpun dinaskan sebagai kontrak ‘Ghair Lazim’ (Boleh ditamatkan kontrak tanpa persetujuan kedua-dua belah pihak). Terutamanya apabila pemegang kad melanggar perjanjian kontrak.

6. Membeli Emas & Perak dengan Kad Kredit
Majoriti Fuqaha’ (Ulama Fiqh) telah menegaskan bahawa antara syarat sah pembelian emas dan perak dengan wang kertas mestilah transaksi pertukaran berlaku ketika itu juga tanpa sebarang penangguhan, ia disebut ‘at-taqabud fil hal’ dalam istilah Fiqh. Ia adalah berdasarkan Hadith Nabi SAW yang jelas menyatakan perihal tersebut. Wang kertas dianggap dari kalangan harta ribawi (usurious items) dan demikian juga Kad Kredit.

Persoalannya : Adakah peniaga emas dan perak menerima harga bayaran di tempat transaksi jual beli dilakukan?. Dalam hal ini, Fuqaha Semasa menyatakan bahawa ‘At-Taqabud’ sebenarnya telah terlaksana, iaitu dengan cara melalukan kad kredit tersebut di alat bacaan kad kredit ketika pembayaran dibuat. Dengan tindakan ini, semua maklumat telah dihantar ke Bank Pengeluar yang akan menguruskan pembayaran selepas itu.

Maka hukumnya : HARUS dan ‘at-Taqabud’ telah berlaku secara al-Hukmi (secara hukumnya) dan telah tercapai, sebagaimana pembelian dengan cek..Demikian Qarar dan Fatwa dari Majma’ Fiqh Islami dalam sidangnya yang ke 9 pada April 1995 .

7. Pertukaran Matawang (Money Exchange atau ‘As-Sarf’) Dengan Kad Kredit.
Biasanya, pemegang kad boleh menggunakan kad ini di kebanyakan negara di dunia bagi membeli apa jua barang yang dikehendakinya, dengan penggunaan kad ini, maka pihak Bank Pengeluar akan membayar Bil kegunaan di luar negara tadi secara segera dengan matawang negara yang terbabit. Kemudian menuntut dari Pemegang kad dengan Matawang tempatan (dengan menggunakan harga pertukaran hari tersebut - sebagaimana termaktub di dalam perjanjian) bagi membayar bil dalam tempoh izin sekitar 2-3 minggu.

Jelas, terdapat transaksi pertukaran matawang (As-Sarf) dalam hal ini. Sebagaimana maklum syarat dalam Islam bagi pertukaran wang adalah ‘At-Taqabud fil hal’.

Hukumnya : HARAM. Ini adalah kerana kelewatan Bank menerima timbal balik dari pemegang kad, bagi pertukaran matawang yang telah dilakukannya. Bank hanya mendapat timbal tukaran itu selepas 2-3 minggu, ini kerana Bank menuntut Bil dari pemegang kad hanya selepas dikeluarkan bil penyata selain memberinya had tempoh izin. Justeru tiada taqabud haqiqi ataupun hukmi berlaku disini. Lalu Hukumnya adalah HARAM kerana berlaku Riba Buyu’ .

BAGAIMANAPUN dikecualikan dari haram dalam keadaan dharurat dan keperluan yang amat sangat.

8. Denda Kerana Lewat Langsaian Bil bagi ‘Charge Card’.
Terkandung di dalam syarat kontrak bagi ‘Charge Card’, bahawa pemegang kad akan menanggung denda akibat kelewatan melangsaikan bilnya dalam tempoh izin. Sudah tentu ia berbentuk wang.

Hukumnya : HARAM, terdapat unsur Riba An-Nasiah (Riba Hutang) yang sangat dilarang di dalam Islam kerana terdapat unsur menzalimi manusia lain serta memakan harta manusia tanpa haq. Telah Ijma’ seluruh ulama muslim pengharaman riba ini.

Demikian Keputusan hasil persidangan Fiqh bagi Kad Kredit di Bahrain pada Nov 1998. BAGAIMANAPUN terdapat keputusan berbeza dari persidangan AL-BARAKAH ke 12, yang memutuskan HARUS, ia berdasarkan sebab kelemahan kefahaman agama dan kesengajaan dalam melewatkan dalam melangsaikan Bil walaupun mampu. Demikian juga pandangan Syeikh Prof. Mustafa Ahmad Az-Zarqa. Pandangan yang lebih kuat adalah HARAM.

9. Bunga atau Faedah Dikenakan bagi Memperbaharui Bil Bagi Credit Card
Terkandung dalam syarat kontrak ‘Credit Card’ syarat , bagi pemegang yang tidak ingin melangsaikan bil secara sepenuhnya, maka bil yang berbaki tersebut akan dikenakan faedah.

Hukumnya : HARAM, ia adalah Syarat Riba yang dilarang di dalam Islam tanpa sebarang ragu-ragu. Demikian keputusan persidangan Fiqh bagi Kad Kredit di Bahrain pada Nov 1998.

Soalan : Adakah harus seorang muslim memohon Kad ini, yang jelas mensyaratkan faedah bagi bil berbaki?

JAWAPAN : Asalnya adalah HARAM dan batal syarat tersebut. Bagaimanapun terdapat pengecualian apabila ada keperluan mendesak dan tiada pilihan lain, ketika itu hukumnya HARUS, dengan syarat membayar penuh bil tanpa meninggalkan sebarang baki yang boleh dikenakan Faedah.

10. Mengeluarkan Wang dengan Kad Kredit
Ia dianggap pemegang kad membuat pinjaman kepada Bank Pengeluar Kad secara langsung melalui ‘Auto Teller Machine’ bank pengeluar atau cawangannya atau melalui ATM Bank Lain (dikira sebagai wakil).

Hukumnya :

1. HARUS, jika pemegang mempunyai wang yang mencukupi dalam akaunnya. Ketika itu pemegang kad seolah-olah mengeluarkan wangnya sahaja. Jika diambil dari bank lain juga demikian. Dan Harus pihak bank mengambil kos upah dengan kadar khidmat mereka yang sebenar.

2. HARAM JIKA Bank Pengeluar mensyaratkan Faedah atau bunga hasil pinjaman yang diberikan. Kerana ia adalah Riba al-Qurudh. KECUALI JIKA PIHAK BANK PEMBERI PINJAMAN HANYA MENGAMBIL KOS KECIL YANG TETAP, HASIL KHIDMAT PEMPROSESAN YANG DIBUATNYA SAHAJA. KETIKA ITU HARUS , Demikian qarar Majma’ Fiqh Islam Sedunia pada sidangnya ketiga pada 1986 M.

3. Jika Pemegang tiada jumlah yang mencukupi di dalam akaunnya (berlaku overdraft) atau langsung tiada sebarang akaun. Maka dianggap pengeluarannya itu adalah PINJAMANnya terhadap bank. dan semua hukum pinjaman (al-Qardh) di dalam Islam adalah terpakai ketika itu. Sebagaimana Hadith Mawquf : ‘Kullu Qardhi Jarra Naf’an Fahuwa Riba’ Setiap pinjaman yang mensyaratkan sebarang manfaat bagi pihak pemberi pinjaman adalah RIBA.

PENUTUP

Demikian sahaja beberapa bentuk urusniaga yang terhasil dari penggunaan kad kredit. Diharap ianya dapat memberikan gambaran yang jelas terhadap seluruh hukum-hakam yang berkaitan dengannya, dan diberikan kita kekuatan untuk menjauhi mana yang haram sedaya mungkin.

Rujukan :

1. Al-Bidaqah al-Bankiyah, Prof. Dr Abd Wahab Abu Sulaiman, Dar al-Qalam, Dimasqh , cet 1, 1998 m .
2. Qadhaya Fiqhiyyah Mu’asiroh Fil Mal wal iqtisod, Prof. Dr Nazih Kamal Hammad, Dar al-Qalam, Dimasqh, cet 1, 2001 M.
3. Bidaqah al-I’timan min Manzur Islami, Prof. Dr Abd Fatah Idris, Cet 1, 2001 M
4. The Law Relating to Credit Cards, Jones , Sally A , London, 1989
5. Majalah Majma Fiqh Islami , Bil 3 dan 8 , Sidang 1, 3 dan 9
6. Al-Fatawa al-Hindiyyah, cet al-amiriyyah , Bulaq, 1310 H
7. Al-Fatawa al-Bazaziyyah , cet al-amiriyyah , Bulaq, 1310 H
8. Bitoqah al-I’timan, Al-Syeikh Dr Abd Satar Abu Ghuddah
9. Al-Mabsut , Imam As-Sarakhasi, cet as-sa’adah, Mesir, 1324 H
10. Hawl Jawaz Ilzam al-Mumatil bita’wid lid Dain, Majalah Dirasat Iqtisodiyaah Islamiyah, jil 3 , Bil 2, 1996 m.


-kaRisu_cHan-

0 comments: